Subscribe RSS


Persediaannya perlulah ke arah yang Allah redhai! ~ picture by amliveco of Deviant Art
Tempoh hari, saya menulis berkenaan bersedia menjadi suami. Respon daripada itu, beberapa pembaca perempuan telah membuat request agar saya menulis berkenaan bbersedia menjadi isteri pula.
Sebenarnya, artikel bersedia menjadi suami itu untuk mengingatkan diri saya. Jadi rasa pelik pula bila nak tulis bersedia menjadi isteri. Sebab saya bukan perempuan.  Tapi saya tulis juga. Penulisa kali ini lebih kepada harapan saya buat wanita.
Biar nanti, dari tangan mereka terbina ummah yang hebatnya tiada tara.
Semoga perkongsian ini Allah redha.
Kesedaran yang perlu ada pada seorang perempuan
Apa yang istimewanya perempuan berbanding lelaki dalam hal kekeluargaan?
Satu perkara yang perempuan buat dan lelaki tidak akan dapat melakukan. Itulah dia melahirkan anak.
Saya kira, perkara terpenting untuk seorang perempuan adalah melihat tugasannya untuk menjadi ‘pengeluar’ kepada anak. Sebelum anak dilahirkan pula, dia menjadi ‘pengawal’ yang mengendong anak yang sedang terbentuk di dalam rahimnya itu selama 9 bulan 9 hari lebih kurang.
“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya;ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kesusahan demi kesusahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).” Surah Luqman ayat 14.
Wahai perempuan, tidakkah kamu melihat itu?
Adakah itu satu perkara kecil?
Kadang-kadang, perempuan selalu melihat dirinya adalah puteri di sisi suaminya. Tetapi, selalu sahaja perempuan terlupa meletakkan dirinya bahawa dia akan menjadi ibu kepada anak-anaknya.
Sudahkan anda berusaha untuk bersedia untuk memikul beban tanggungjawab?
Didikan semenjak sebelum lahir
Saya senang percaya bahawa didikan seorang anak itu bermula sebelum anak itu lahir lagi. Saya juga percaya bahawa keadaan seorang Ibu banyak mempengaruhi anak.
Bagaimana agaknya ya, kalau Sang Ibu adalah seorang yang meninggalkan arahan Allah tanpa uzur sepanjang mengandung anaknya? Bercakap perkara yang buruk dan kotor sepanjang anak di dalam kandungannya? Melakukan dosa sepanjang anak itu terbentuk di dalam rahimnya?
Bagaimana agaknya ya?
Memang kita tidak menyebut: “Wahai anak, lakukanlah dosa”
Tetapi saya yakin, amal kita mempengaruhi anak.
Justeru, perempuan, tidakkah kalian melihat betapa kalian sudah mula perlu berusaha untuk bersedia dari sekarang untuk menempuh hari-hari itu?
Atau bila sudah mengandung baru belajar menyisihkan sikap buruk?
Dan bayangkanlah selepas anak lahir, kita tidak dapat lagi mengikis sikap buruk kita.
Bagaimana?
Maaf, tiada cuti
Satu hakikat yang perlu disedari dan difahami adalah, kehidupan berumah tangga tidak mempunyai cuti. Maka tanggungjawab seorang perempuan dalam menjadi Ibu dan Isteri tidak akan mempunyai cuti. Ia satu tanggungjawab sepanjang hayat.
Jadi, bagaimana agaknya hendak mengharungi kehidupan panjang menggalas tanggungjawab itu jika tidak berusaha dari sekarang untuk bersedia?
Boleh jawabkah?
Emosi semestinya akan digoncang oleh pelbagai ujian yang wujud dalam samudera rumah tangga. Kemudian bagi yang bermimpi-mimpikan suami kacak, maka anda nanti akan melihat suami anda selepas bangun tidur yang belum gosok gigi lagi bersama rambut berserabut. Jangan lupa anda akan berurusan juga dengan muntah dan najis anak.
Belum dikira tugasan kerja di tempat kerja, urusan dapur dan sebagainya. Ditambah juga dengan pendidikan anak, pendidikan diri, hendak melayan suami lagi dan sebagainya.
Dan semua itu akan berjalan tanpa cuti. Tiada cuti hujung minggu. Tiada cuti hari pekerja. Tiada cuti hari raya. Setiap masa, saat dan ketika, anda tetap seorang isteri dan seorang ibu dalam satu rumah tangga.
Bolehkah ianya dilaksanakan dengan baik tanpa usaha untuk bersedia dari sekarang?
Oh, jangan lupa bahawa anda adalah contoh
Pada saya, guru pertama manusia adalah sesiapa yang ada dengannya buat kali pertama dia menguak dunia. Jika lembu, maka lembulah dia. Jika harimau, maka harimaulah dia. Jika godzilla, maka godzillahlah dia.
Maka, didiklah diri berperangai seperti manusia yang Allah redha dari sekarang.Setahu saya, melainkan kes-kes terpencil, majoriti manusia itu memerlukan masa yang panjang untuk memperbaiki dirinya. Jadi agak susahlah kan kalau bila anak dah lahir, masa tu la baru sibuk nak baiki diri itu ini.
Memang kita bukan gorilla dan saya yakin anak kita tak akan jadi gorilla.
Tetapi kita manusia yang ada kebaikan dan kejahatan. Agak-agak sisi mana dalam kehidupan kita yang akan anak kita ikuti? Maka hendak tidak hendak, kita perlulah membuatkan sisi kebaikan itu bersinar terang dalam kehidupan kita dengan menjadikan sebagai darah daging kehidupan kita.
“ … dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya mereka telanjang, melenggak-lenggokka n kepala mereka kerana sombong dan berpaling dari ketaatan kepada Allah dan suaminya, kepala mereka seakan-akan seperti bunggul unta. Mereka tidak masuk Syurga dan tidak mendapatkan wanginya Syurga padahal wanginya boleh didapati dari jarak perjalanan sekian dan sekian.” (Hadis Riwayat Muslim dan Ahmad)
Bayangkan ya kalau kita tak perkemaskan akhlak kita semenjak sekarang. Mulut dah biasa sangat mengumpat bila tak puas hati, maka kita mengumpat-umpat di hadapan anak kita. Mulut ni laju je menyumpah seranah bila rasa bengang, maka kita sumpah seranah di hadapan anak kita. Mulut suka sangat merungut itu dan ini, maka kita merungut-rungut di haadapan anak kita.
Anak tengok dan membesar dalam keadaan itu.
Bagaimana agaknya ya?
Itu belum dikira lagi kalau perangai kita tak melambangkan peribadi yang Allah redha. Pakai tudung tapi pakai pakaian ketat. Pakai tudung tapi pakai baju lengan sekerat. Tak pakai tudung, pakaian dedah aurat. Ditambah pula pakej mulut tak berlapik, suka merungut dan menyumpah seranah sahaja. Apatah pula yang adab pergaulan tak dijaga, berhubungan dengan ramai tanpa penjagaan yang sepatutnya?
Agak-agak, anak membesar bagaimana?
Maka, apakah kita dapat memenuhi tuntutan Allah SWT dalam Surah At-Tahrim ayat 6?
“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala);” Surah At-Tahrim ayat 6.
Memang kerja lelaki meluruskan wanita, tapi…
Saya terbaca blog rakan saya masa tadika, Asma’ Aminuddin berkenaan tanggungjawab lelaki yang perlu meluruskan wanita yang bengkok. Di dalam blognya, dia menulis bahawa, ada yang menyatakan ‘tak aci’ kepada lelaki yang hendak cari perempuan yang sudah ‘lurus’ sahaja. Tetapi Asma’ menyatakan bahawa, lelaki cari yang ‘lurus’, agar kehidupan rumah tangganya tidaklah bengkang bengkok masa hendak menjalankan proses pe’lurus’an seorang isteri.
Jadi Asma’ kata, hendaklah perempuan-perempuan berusaha meluruskan diri mereka sendiri masa bujang ni.
“(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia.” Surah An-Nuur ayat 26.
Memang tugas lelaki memimpin wanita, mendidik isteri dan mentarbiyahnya. Tetapi yang perlu disedari oleh isteri adalah, mereka akan mempunyai anak pula untuk ditarbiyah. Suami nantinya perlu mencari nafkah. Tambah pula bila isteri juga bekerja. Jadi masing-masing ada kesibukan masing-masing.
Baru hendak me’lurus’kan diri lepas kahwin?
Ha… Fikir-fikir panjang sikit.
Bukakah mudah kalau dah usaha untuk ‘lurus’ dari sebelum kahwin?
Tidaklah pening kepala si suami. Nak tarbiyah anak lagi, nak cari nafkah lagi, isteri pun nak kena tarbiyah juga. Kan dah tak cukup tangan?
Penutup: Lebih Ibu dari Isteri
Mesti ada yang cakap, lebih baik tajuk post ini adalah Bersedia Menjadi Ibu berbanding bersedia menjadi isteri. Memandangkan, saya hanya menyentuh perihal hubungan isteri dengan suami sedikit sahaja.
Memang itu yang saya suka fokuskan. Kita selalu baca novel cinta, yang dibisingkan hubungan lelaki perempuan sahaja. Cinta suami isteri sahaja. Tetapi kita terlupa satu tanggungjawab besar di celah kemanisan cinta kita dengan pasangan kita.
Kita dan anak.
Bagi saya, mendidik anak adalah urusan terbesar seorang isteri kepada suaminya. Bukanlah maksudnya di sini suami tidak perlu mendidik anak. Tetapi lebihnya kepada isteri yang merupakan manusia pertama berhubung dengan anak semenjak dari awal proses kehadirannya ke dunia lagi.
Ketahuilah wahai perempuan, anda tidak dimuliakan oleh Islam hanya kerana anda adalah perempuan. Tetapi anda dimuliakan adalah kerana perempuan itu mempunyai tanggungjawab besar dalam membina ummah.
Bagaimana perempuan mempunyai tanggungjawab besar dalam membina ummah?
Yakni dengan membina anak-anak mereka.
Tidakkah kalian melihat betapa besarnya tanggungjawab kalian?
Maka, mengapa tidak lagi kalian bergerak untuk berusaha mempersiapkan diri?

by : Hilal Asyraf 

Category: | 0 Comments


Sudahkah kamu berusaha untuk bersedia?
Dua hari lepas, semasa makan-makan dengan ahli rumah, timbul perbincangan berkenaan bila dah jadi suami nanti. Biasanya, apabila disebut fasal perkahwinan, orang sibuk membicarakan perihal pasangan yang hendak dikahwininya. Tetapi yang terharunya saya dalam perbincangan tengah makan itu, kami membicarakan bagaimana keadaan diri kami untuk menjadi suami.
“Al-Quran pun tak banyak baca.”
“Masjid pun tak istiqomah pergi”
“Subuh pun liat nak bangun”
“Kekemasan rumah pun susah nak jaga”
Ya. Bagaimana agaknya bila sudah berkahwin? Mungkin orang sibuk berfikir bagaimana mendalamnya cinta mereka kepada pasangan mereka boleh pergi selepas kahwin nanti. Tetapi entah kenapa, saya berfikir apakah aku ini mampu nak didik isteri dan anak? Mampu nak pimpin mereka untuk dapat redha Allah? Mampu nak didik mereka untuk menghala ke syurga?
Kalau kita berhenti pada persoalan mampu atau tidak, sudah bersedia atau tidak, mungkin hingga mati kita tidak akan dapat jawapannya kalau sekadar berfikir-fikir demikian. Maka saya mewujudkan satu persoalan lain yang lebih ‘bumi’ untuk difikirkan.
“Sudahkah kita berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi suami yang baik?”
Realiti sebuah pekahwinan
Seronok bila kahwin. Saya tak pernah nampak lagi orang yang berduka bila hendak berkahwin. Tetapi saya suka, dalam keseronokan perkahwinan, seseorang itu perlu memandang bahawa perkahwinan adalah gerbang kepada dunia yang lebih besar dan panjang. Jangan dilihat bahawa perkahwinan itu adalah Majlis Perkahwinan yang dihadiri ramai orang, tempohnya hanya sehari, disertai pelbagai program dan majlis makan sahaja. Tetapi selepas Majlis Perkahwinan itu wujud satu perjalanan panjang. Dan bukan keseronokan sahaja yang wujud di dalamnya.
Kita akan tinggal dengan pasangan kita dalam kebanyakan masa 24 jam sehari. Tidur dengannya, bangun dengannya, makan dengannya, tinggal bersamanya, dan bila ada masalah serta cabaran kita bersamanya. Dan tiada orang pada saya, bercita-cita berkahwin hanya sehari dua.
Kemudian bila Allah izin dapat anak, dengan anak pun sedemikian. Kita bersamanya dalam kebanyakan masa 24 jam sehari. Dan saya tak rasa ada orang yang nak anak dia mati selepas 2-3 hari.
Bersama mereka. 24 jam sehari, 7 hari seminggu, 4 minggu sebulan, 12 bulan setahun, dan entah berapa tahun dalam kehidupan kita. Majoritinya mencecah puluhan.
Kalau tak berusaha untuk bersedia, apakah akan terjadi sepanjang pengharungan alam yang panjang itu?
Suami adalah contoh
Bayangkan ya, dalam sepanjang kehidupan kita berumah tangga nanti, kita adalah seorang yang selalu bangun lewat subuh, jarang sungguh membaca Al-Quran, tidak pula menjaga kebersihan, apatah lagi masih suka melakukan dosa, bagaimana agaknya pasangan kita?
Ini adalah tanggungjawab besar selain memberikan nafkah. Menjadi contoh yang baik kepada isteri dan anak-anak.
Saya tidak dapat membayangkan kita bangun lewat Subuh dan isteri ikut bangun lewat sama kerana kita tak bangun awal Subuh. Anak juga kemudiannya terbiasa bangun lewat Subuh sebab kita tak kejutkannya Solat Subuh.
Saya tidak dapat membayangkan kita jarang sungguh membaca Al-Quran sehingga isteri pun rasa tidak mengapa tidak membaca Al-Quran. Anak juga kemudiannya rasa susah hendak suka dengan Al-Quran sebab kita pun jarang membaca Al-Quran.
Saya tidak dapat membayangkan kita masih suka buat dosa, jauh daripada Allah, sehingga isteri pun nanti rasa tidak kisah atas hal yang sama kerana merasakan itu perkara biasa. Anak juga kemudiannya rasa yang dosa itu bukan dosa sebab dia melihat kita melakukannya seakna itu perkara halal dan mendapat pahala sahaja.
Bagaimana? Tidakkah terasa bahawa berusaha ke arah persediaan adalah sesuatu yang urgen?
Yang akan dipersoal di akhirat
Suami, bapa, ketua keluarga, itulah yang paling berat persoalannya di hadapan Allah kelak. Satu perkara yang kita perlu ingat adalah kita akan dibangkitkan di hadapan Allah dan akan dipersoalkan. Maka bagaimana agaknya persediaan kita untuk menjawab persoalan Allah akan hal keluarga kita?
“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya) ; mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” Surah At-Tahrim ayat 6.
Bagaimana pula kalau kita yang menjadi penyebab mereka ke neraka? Bukankah itu menyedihkan?
“Katakanlah lagi: “Sesungguhnya orang-orang yang rugi (dengan sebenar-benarnya) ialah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri dan keluarga mereka pada hari kiamat (dengan sebab perbuatan mereka memilih kekufuran atau kederhakaan) . Ingatlah, yang demikian itulah kerugian yang jelas nyata.” Surah Az-Zumar ayat 15.
Adakah kita hendak menjadi orang yang merugikan diri dan keluarganya sekali?
Ketahuilah. Kahwin itu bukan sekadar majlis perkahwinan, dan tanggungjawabnya bukan sekadar nafkah.
“Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.” Surah Toha ayat 132.
Dan yang hendak memerintah, pastinya perlu melakukannya bukan?
Memang kalau nak tunggu sempurna tak akan sempurna
Memang kalau sekarang kita tanya diri kita, apakah aku telah sempurna untuk berkahwin, nak jadi contoh, memang tak akan kita mampu jawab sempurna. Jadi, apakah kita tidak boleh berkahwin sebelum sempurna?
Tidak. Saya tidak kata demikian. Memang tidak akan ada manusia yang sempurna.
Tetapi setahu saya, ada manusia yang berusaha ke arah kesempurnaan itu.
Sebab itu, persoalan yang saya timbulkan adalah, apakah kita telah berusaha untuk bersedia?
Semasa bujang kita mula jaga kekemasan, semasa bujang kita sudah usaha menyelesaikan hal Bangun Subuh, semasa bujang kita usaha memperkuatkan hubungan dengan Allah, semasa bujang kita usaha biar diri cinta dengan Al-Quran dan kebaikan, semasa bujang kita sudah usaha meninggalkan dosa-dosa dan memperkemaskan banyak amalan.
Apakah kita telah berusaha membiasakan diri kita untuk menjadi contoh?
Penutup: Saya percaya bahawa rumah tangga yang terbaik, adalah yang Allah redha
Saya percaya bahawa, rumah tangga yang terbaik adalah yang mendapat keredhaan Allah SWT. Dan saya pula percaya bahawa manusia tak akan mampu menjadi baik tanpa usaha. Sebab itu saya kira, hendak membina rumah tangga yang baik, maka manusia perlu berusaha untuk bersedia.
“Ala bro, lepas kahwin nanti baru fikir lah”
Ya. Mungkin boleh. Tetapi bagaimana agaknya kalau terlewat? Baru hendak berubah, anak dan isteri pula telah pekat dengan amal kita sebelum berubah. Bagaimana?
Mengapa bila dikurniakan masa ketika bujang, tidak kita gunakan?
“ala, benda ni benda dah kahwin la bro. Pelajar-pelajar kena fikir belajar aja”
Oho. Maaf. Guru saya kata, hal perkahwinan kena fikir semasa dari tingkatan satu lagi. Ia menjana kematangan. Bukan fikir nak kahwin dengan siapa. Tetapi fikir nak hidup macam mana lepas kahwin nanti.
Maka, apa kata kita jangan lewat-lewatkan usaha kita? Mengapa tidak dari sekarang?
Saya teringat kata-kata seorang ulama’:
“Ada beza orang yang beriman di awal Islam, dengan orang yang beriman selepas Fathu Makkah.”
Fikir-fikirkan.
“Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.” Surah Toha ayat 132




by : Hilal Asyraf 

Category: | 0 Comments


Tarikh syahid: 22 Mac 2004
1)      Bumi Palestin adalah milik umat Islam yang secara paksa telah dirampas oleh zionis Israel dan hanya boleh direbut kembali dengan kekuatan. Ia adalah tanah wakaf yang tidak sama sekali boleh diserah kan walaupun seinci. Untuk itu umat Islam harus bersedia melakukan segala-galanya demi menebus kembali tanah suci ini.
2)      Jihad di Palestin adalah hak asasi rakyat Palestin. Ia juga WAJIB bagi seluruh umat Islam samada lelaki atau perempuan untuk memerangi ketidakadilan serta terorisme yang dilakukan oleh musuh-musuh Allah SWT. Rakyat Palestin menolak untuk dipisahkan dari masyarakat Arab dan umat Islam seluruh dunia. 
3)      Rakyat Palestin yang sedang berjuang menentang penjajah zionis Israel sewajarnya mendapat sokongan dari pemimpin serta umat Islam seluruhnya. Umat Islam Palestin amat memerlukan bantuan ekonomi setelah bertahun-tahun menghadapi tekanan zionis Israel yang menghancurkan mata pencarian dan kemakmuran bumi Palestin. Rakyat Palestin juga memerlukan sokongan ketenteraan, perubatan, diplomatic dan segala sokongn untuk membantu jihad mereka. 
4)      Menyeru agar jangan sama sekali membina hubungan baik dengan zionis Israel dan menutup kedutaan, konsulat atau perwakilan dagangan zionis Israel di mana pun ia berada. Kami mendesak agar umat Islam aktif memboikot dan menghentikan sebarang hubungan dagang dengan rejim zionis yang kejam dan zalim ini. 
5)      Umat Islam di Palestin memerlukan apa jua bentuk bantuan untuk menamatkan sikap serta permusuhan yang dilakukan di bumi Palestin oleh zionis Israel . Waktunya akan datang seperti yang Allah janjikan dan bersabarlah dengan janji-janji Allah SWT itu. 
6)      Masjid Al-Aqsa perlu diselamatkan oleh seluruh umat Islam daripada rancangan penghancurannya oleh zionis Israel .
7)      Meminta kepada umat Islam supaya membantu rakyat Iraq mengusir penjajah Amerika dari tanahnya. Apa yang dilakukan oleh rakyat Iraq adalah sama dengan kami yang sedang membebaskan Palestin.

Inilah Syeikh Ahmad Yassin seorang pejuang dan pemimpin, walaupun cacat dan bergerak di atas kerusi roda
                 telah memenuhi cita-cita perjuangannya dengan harga yang termahal.
Kata-kata penyair terrenal, Soleh Asymawi yang ditujukan lepada beliau:

“Kau akan tetap menjadi bintang yang bergemerlapan di galaksi jihad kami….
Wahai lumpuh yang telah menggentarkan musuh!”

“Barat mendesak kami menghentikan penentangan. Mereka tidak menyuruh penceroboh-pencerob oh itu meninggalkan tanahair kami. Sebaliknya, menyuruh kami menyerah sahaja dan menyokong penjajahan. Pembunuhan dan pembuangan orang Palestin bukanlah keamanan yang sebenarnya.”
                                                                                                          -Syeikh Ahmad Yassin
Seorang syair moden perihal diri Syeikh Ahmad Yasin:
Kerusi rodanya yang hanya mampu bergerak di ruang yang terbatas,
Telah membuka di hadapanmu ufuk  dan zaman yang luas
Ia (kerusi roda) telah mengajar (manusia) erti perlawanan dan bukannya
Seperti kerusi-kerusi lain (pemimpin Arab) yang lari ketakutan
            Dia (Syeikh Ahmad Yassin) menikmati kelazatan sebuah kematian dan kebenarannya
            Dalam perjuangan menjadi contoh dan ingatan…

Bismillahirrahmanirrahim..
pejam celik, pejam celik..dah berminggu2 kami tidak 'update' di blog ini rupanya..

insyaAllah buat masa terdekat ini, kami akan berkongsi tentang beberapa perkara di blog ini yang kami terima.

semoga dapat kita ambil iktibar dan pengajaran dari setiap perkongsian yang akan diberikan..
wallahua'lam..
wassalamu'alaikum wbt

Category: | 0 Comments