Ustaz Umar Tilmisani rahimahullah berkata:
“Apabila melakukan teguran, Imam syahid Al-Banna menuturkan kata-kata teguran yang lemah lembut dengan suara yang halus dan tidak dengan nada yang tinggi. Beliau akan menegur kesalahan dan menyatakan kesalahan tanpa menyakiti atau mengguris hati ikhwah.”
“Di saat senang, beliau memanggilku dengan namaku sahaja… Wahai Umar.”
“Namun, apabila ada sesuatu yang menyimpang dan harus diperbetul dan diluruskan, maka beliau akan memanggilku dengan panggilan… Wahai Ustaz Umar.”
“Apabila terdengar sahaja panggilan itu, maka saya akan segera menyedari bahawa ada hal yang tidak menyenangkan atau ada perkara yang perlu saya perbetulkan. Maka saya akan segera berkata, Apa yang terjadi?”
Beliau membalas pertanyaan dengan simpulan dan kuntuman senyum yang indah mekar di bibir. Sehingga apabila melihat wajahnya, maka sesiapa yang sedang marah, maka perasaan geramnya pasti akan reda dan hilang. Lalu, beliau akan menyampaikan isi tegurannya dengan bahasa yang lembut yang menyentuh hati dan juga menyenangkan jiwa yang mendengar.”
Di kala ambang peperiksaan makin menggundahkan hati dan perasaan kita, emosi dan jiwa seseorang itu sememangnya mudah terusik dan terguris. Maklum dengan suasana getir dan tegang di kala peperiksaan menyebabkan hati menjadi sedikit keras dan statik. Kurangnya kedinamikan yang boleh melentur hati supaya menyemai rasa berlapang dada dan lebih terbuka kepada salah silap mahupun sikap yang mungkin sedikit keras oleh rakan kita. Syaitan akan lebih mudah untuk meniup rasa dengki dan nafsu amarah akan makin membuak-buak api kemarahannya dimangkin oleh hasutan syaitan. Rasulullah SAW mengajarkan kepada kita untuk menghadapi perasaan marah ini berdasarkan hadith dari Sulaiman Bin Shurad:
“Saya duduk bersama Nabi s.a.w. dan di situ ada dua orang yang saling bermaki-makian antara seorang dengan kawannya. Salah seorang dari keduanya itu telah merah padam mukanya dan membesarlah urat lehernya, kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Sesungguhnya saja niscayalah mengetahui suatu kalimat yang apabila diucapkannya, tentulah hilang apa yang ditemuinya -kemarahannya, yaitu andaikata ia mengucapkan: “A’udzu billahi minasy syaithanir rajim,” tentulah lenyap apa yang ditemuinya itu. Orang-orang lalu berkata padanya – orang yang merah padam mukanya tadi: “Sesungguhnya Nabi s.a.w. bersabda: “Mohonlah perlindungan kepada Allah dari syaitan yang direjam.” (Muttafaq ‘alaih)
Selain itu, Rasulullah pernah bersabda bahawa:
“Seseorang yang kuat di kalangan sesuatu kaum bukanlah orang yang dapat mengalahkan semua orang di kalangan kaumnya tetapi orang yang kuat itu adalah orang yang dapat menahan dirinya daripada berasa marah.”
Allah turut berfirman dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 134:
134. (yaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan mema’afkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.
Sememangnya menjadi suatu signifikan buat kita para daie untuk mengikis sifat marah dan memupuk serta menyemai subur sikap lemah lembut dalam diri. Menjadi suatu bekalan yang sangat penting buat kita dalam jalan yang penuh dengan liku-liku ini di mana, sifat lemah lembut mampu untuk menarik manusia kembali kepada Allah. Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya Allah itu Maha Lemah-lembut dan mencintai sikap yang lemah-lembut dalam segala perkara.” (Muttafaq ‘alaih)
Allah turut berfirman dalam Surah Furqan,
63: Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandung) keselamatan (iaitu mereka mengucapkan salam)
Jelas di sini bahawa kita perlu bersikap lemah lembut dalam semua perkara. Hatta khudwah hasanah kita yang kita junjungi, Rasulullah SAW sentiasa bersikap lemah lembut. Baginda mungkin pernah bersikap tegas, tetapi semuanya dengan nada yang lembut dan sangat menyentuh hati.
Perlu kita ingatkan bahawa dalam kita sibuk megejar manusia dan menulis manusia, dalam keghairan kita, adakah kita telah mengkorporasi sikap lemah lembut dalam teknik dakwah kita? Mungkinkah teguran kita terlalu tegas? Adakalanya, mungkin difikirkan bahawa kata-kata yang diucapkan adalah bersesuaian dan menepati situasi, namun, setiap manusia mempunyai perasaan yang berlainan. Seseorang itu mungkin mudah terusik atau terguris walaupun kata-kata yang diucapkan langsung tidak mempunyai unsure-unsur kasar mahupun kata-kata tajam yang mampu menusuk jiwa. Seringkali dirasakan bahawa kata-kata yang diucapakan seolah-olah kata-kata yang biasa atau madah nasihat yang mudah untuk diterima. Namun, persoalannya, adakah kita pernah terfikir dengan perasaan orang tersebut. Semangat kita yang tinggi mungkin secara tidak sengaja boleh menorah luka perasaan di jiwa ikhwah yang lain. Maka berhati-hatilah dalam usaha kita untuk menegur, malah di kalangan ikhwah sendiri. Jangan semangat yang menjulang tinggi menyebabkan kita kabur terhadap perasaan ikhwah di sekeliling. Malah Syed Qutb pernah berkata:
“Kita menyeru dan memerangi manusia dengan kasih sayang dan lemah lembut. Nampak seperti ironi, namun itulah hakikat yang perlu kita implementasikan.”
Kata-kata beliau ditujukan buat daie-daie muda yang penuh dengan semangat tetapi risau jika disalurkan pada saluran-saluran yang terselitnya rasa marah. Impak yang lebih teruk ialah, orang yang diseru mungkin akan lari dan menyebabkan usaha kita sia-sia malah dikutuk oleh Allah. Rasulullah bersabda:
“Berikanlah kemudahan dan jangan mempersukarkan. Berilah kegembiraan dan jangan menyebabkan orang lari.” (Muttafaq ‘alaih)
Semoga di musim peperiksaan ini, kita lebih peka dengan perasaan dan jiwa sahabat-sahabat kita. Namun, jadikan ia sebati dalam diri supaya berkat izin Allah, moga kita praktikkan selalu.
Sharing is Caring
Category: | 0 Comments