Subscribe RSS



KUALA LUMPUR – “Alhamdulillah, isteri saya bilang bahawa makanan ini luar biasa ada peningkatan gizi setelah berhari-hari makan yang itu-itu saja. Sampaikan salam terima kasih kami dan segenap warga kepada siapa pun yang memberi makanan bergizi ini. Semoga berkah dan Allah membalasnya dengan balasan yang jauh lebih baik,” demikian bicara Ustaz Wahyu Bobi dari Indonesia ketika mengulas sumbangan yang diterimanya pada Ramadan  lepas.
Menjelang Ramadan 1431 Hijrah yang bakal tiba kira-kira seminggu lagi, Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) sekali lagi melancarkan program Rayuan Ramadhan bagi membantu umat Islam yang kurang bernasib baik di seluruh dunia.

“Tahun ini merupakan tahun ke-12 program Rayuan Ramadhan sejak ia dilancarkan pada 1999. Program ini adalah program penajaan berbuka puasa dan sedekah kepada mereka yang lebih memerlukan,” kata Pengarah Program, Tuan Yaacob Tuan Sof dalam satu sidang media di ibu pejabat JIM, Taman Melawati dekat sini pagi tadi.


Bendahari JIM itu seterusnya menambah, sasaran pada tahun ini adalah sebanyak RM500,000 yang akan digunakan untuk menaja 100,000 orang umat Islam di 14 buah negara. Negara-negara yang terbabit adalah Palestin, MIndanao, Indonesia, Rohingya, Vietnam, Kemboja, Selatan Thailand, Sri Lanka, Sudan, Afghanistan, Pakistan, Bangladesh dan Iraq. Turut tidak dilupakan adalah umat Islam di Malaysia iaitu tajaan berbuka puasa untuk 35,000 orang melalui dua buah institusi pertubuhan itu iaitu Hidayah Center (sebuah Pusat Sokongan Saudara Baru) dan Raudhatus Sakinah (sebuah Pusat Bimbingan Remaja Puteri).
Turut hadir dalam majlis pelancaran tersebut adalah Setiausaha Agung JIM, Nahar Md Nor, Konsultan Rayuan Ramadhan JIM, Wan Mohd Zukri, Ahli Jawatankuasa Ramadhan Qurban JIM, Abdul Hafidz Hashim dan sekretariat Rayuan Ramadhan JIM.
Bagi menghilangkan kesangsian orang ramai yang mungkin bimbang dengan sumbangan yang diberikan, Wan Mohd Zukri menjelaskan, “Sebenarnya pertubuhan-pertubuhan (NGO) yang dipilih untuk bekerjasama dengan JIM di negara-negara tersebut terdiri daripada mereka yang kami telah kenal lama. Selain program ini, kami juga banyak mengadakan program usaha sama lain seperti Qurban, Aqiqah dan sebagainya.” Beliau turut mengharapkan bantuan pihak media untuk menguar-uarkan program Rayuan Ramadhan JIM ini kerana katanya, “rakyat Malaysia memang suka menyumbang.”
Hal ini ternyata ada kebenarannya kerana pada tahun lepas sahaja, JIM telah berjaya memperoleh sumbangan melebihi RM170,000 daripada rakyat Malaysia. Bagi yang telah menyumbang, Tuan Yaacob merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kerana mereka telah bersama-sama membantu menjayakan program ini.
Dengan memetik kelebihan bersedekah dalam ayat 261, surah al-Baqarah, beliau seterusnya menyeru semua rakyat Malaysia untuk turut serta dalam program ini dengan menyumbang mengikut kemampuan masing-masing. Sumbangan boleh dilakukan secara individu, berkeluarga atau berkelompok dengan melibatkan institusi seperti surau, masjid, rakan-rakan sepejabat, persatuan-persatuan dan sebagainya.
Brosur dan borang penyertaan telah diedarkan di seluruh negara bagi memudakan orang ramai membuat sumbangan. Sumbangan juga boleh dibuat melalui transaksi perbankan ke dalam akaun ‘Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia’ di Bank Islam Malaysia Berhad (nombor akaun 12113010005797) atau di Bank Muamalat Malaysia Berhad (nombor akaun 14030000391713).
Orang ramai juga boleh menghubungi terus Sekretariat Program Rayuan Ramadan di talian 03-41089669 atau 03 -41053159, melalui sistem pesanan ringkas (SMS) di talian 019-3696650, e-mel ramadhan-qurban@jim.org.my atau melayari laman web www.rayuan-ramadhan.jim.org.my untuk keterangan lanjut.

Category: | 0 Comments

0 comments to “hayya Ramadhan”